SHAH ALAM – Kesemua 127 kontraktor diberikan tempoh tiga bulan bagi menyiapkan kerja-kerja pembinaan bilik darjah di sekolah kepadatan penuh bermula bulan ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini melibatkan 111 bilangan kerja di Selangor diikuti Perak (7), Pahang (3), Negeri Sembilan (3) dan masing-masing satu di Terengganu dan Pulau Pinang.
Katanya, keseluruhan projek tersebut melibatkan kos sebanyak RM88 juta dengan setiap sekolah melibatkan kos antara RM1 juta hingga RM2 juta mengikut bilangan bilik darjah.
“Kaedah yang digunakan adalah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan ketahananya sehingga 15 tahun.
“Tiga bulan itu adalah tempoh yang telah dikaji pihak kita dan tiada tempoh lanjutan (EOT) diberikan. Simple building dengan guna IBS pasang siap, senang sahaja kerjanya,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi di Pelbagai Negeri di Dewan Seroja, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Selangor di sini.
Kata beliau, projek pembinaan melibatkan 121 buah sekolah tersebut akan bermula seawal minggu depan itu dengan jangkakan siap pada 30 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE