fbpx

‘Saya reda, Suraini pergi dalam keadaan berpuasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SURAINI maut dalam kemalangan di Kuala Pegang, Baling pada petang tadi.

BALING – “Suraini selalu ingatkan saya tentang puasa sunat termasuk pada hari ini dan esok, hari ini pun dia pergi dalam keadaan berpuasa.”

Demikian kata Fatimah Ismail, 73, tentang anaknya, Suraini Mohamad, 46,  yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di hadapan sebuah kilang di Kuala Pegang, di sini kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Suraini yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Menurut Fatimah, arwah sangat rapat dengannya kerana tinggal berdekatan dan anaknya itu sering berkongsi tentang ilmu keagamaan.

“Dia ada datang ke rumah pada semalam dan ingatkan tentang puasa sunat hari ini dan esok.

“Saya rasa dia berpuasa sebab itu dia tidak menjenguk saya hari ini. Kejadian dipercayai berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Kampung Tanah Bukit Hitam, Kuala Pegang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, anaknya itu bekerja mengambil upah menjaga warga emas.

Jenazah Suraini akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jenalik selepas selesai bedah siasat di Hospital Daerah Kulim, dekat sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI