fbpx

‘Saya nak hidup, doktor… saya ada anak kecil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perkongsian yang dibuat oleh pemilik akaun tersebut.

PETALING JAYA – “Saya nak hidup, doktor. Saya ada anak kecil. Saya nak berhenti merokok. Sumpah,”

Demikian rayuan sebak seorang lelaki muda yang hampir maut akibat paru-paru bocor dalam kejadian cemas di sebuah klinik baru-baru ini.

Perkongsian menyayat hati itu dimuat naik oleh seorang pakar perunding paru-paru atau Pulmonologi, Dr. Nurul Yaqeen Mohd Esa menyaksikan sendiri detik cemas menyelamatkan nyawa pesakit berkenaan.

Menurut doktor tersebut, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi ketika dia sedang menyusun fail pesakit untuk sesi klinik.

“Tiba-tiba jururawat bergegas masuk dan beritahu ada kecemasan. Seorang lelaki muda sesak nafas teruk, ditolak masuk oleh isterinya dengan kerusi roda. Dia langsung tak mampu bercakap,” katanya.

Tambahnya, lelaki berusia lingkungan 30-an itu kelihatan amat lemah, berpeluh seluruh badan, nafas tercungap-cungap dan wajahnya jelas meminta pertolongan.

Dalam pada itu, pemeriksaan awal mendapati paru-paru kiri pesakit itu bocor apabila tiada bunyi pernafasan kedengaran.

“Encik, saya syak paru-paru kiri encik bocor. Kita panggil pneumothorax. Kita kena tebuk dan masukkan tiub segera untuk keluarkan udara,” kata Dr. Nurul Yaqeen kepada pesakit tersebut.

Beliau segera melakukan prosedur kecemasan dengan memasukkan tiub untuk mengeluarkan udara yang terperangkap dalam rongga dada.

“Isterinya terus sujud syukur sambil menangis. Dia sangka kehilangan suaminya pada hari itu,” kongsi doktor berkenaan.

Tiga hari kemudian, Doktor tersebut sempat melawat lelaki berkenaan di wad dan mendapati dia semakin pulih.

“Di tepi katilnya, saya nampak sebungkus rokok yang telah direnyuk dan dibuang. Dia minta maaf, katanya mula merokok sejak umur 15 tahun dan kini insaf sepenuhnya.

“Saya hanya senyum dan kata, ‘Masih belum terlambat. Paru-paru awak dah minta tolong. Awak dengar. Itu dah cukup’,” tulisnya.

Dr. Nurul Yaqeen turut mengakui dirinya menangis sendirian kerana bersyukur menjadi asbab untuk menyelamatkan sebuah nyawa dan menyatukan semula sebuah keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI