SERDANG – Polis melupuskan pelbagai barang rampasan bernilai RM5.6 juta membabitkan mesin Bitcoin, minuman keras dan rokok seludup dalam satu proses pelupusan yang diadakan hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pelupusan itu melibatkan barang kes dari 173 kertas siasatan dalam tempoh lima tahun lalu bermula 2020 hingga kini.
Katanya, antara barang yang dilupuskan termasuk 2,934 unit mesin Bitcoin dengan anggaran nilai RM4.4 juta, 119,094 tin dan botol minuman keras seludup bernilai RM952,752 serta 42,218 karton rokok seludup bernilai RM337,744.
“Kesemua barang kes ini telah mendapat kelulusan pelupusan daripada Mahkamah Petaling Jaya mengikut peruntukan di bawah Seksyen 407A Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, minuman keras dan rokok seludup itu merupakan barang rampasan dalam kes di bawah Akta Kastam 1967 yang masing-masing dikendalikan melalui kertas siasatan pada tahun 2021 dan 2022.
Muhamad Farid Ahmad yang baharu 22 hari menjawat jawatan itu berkata, fokus utamanya dalam tempoh sebulan pertama adalah memperkukuh hubungan dalaman antara pegawai dan anggota di peringkat daerah.
“Bagi bulan kedua dan seterusnya, tumpuan saya akan beralih kepada pelaksanaan pelbagai operasi, termasuk usaha pencegahan jenayah di daerah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE