BANDA ACEH – Sepasang kekasih disebat secara terbuka sebanyak 100 kali setiap seorang di Aceh, Indonesia, lapor portal berita MailOnline semalam.
Mereka disebat selepas didapati bersalah kerana berzina oleh sebuah mahkamah yang melaksanakan undang-undang Islam.
Lelaki dan wanita itu berdiri di hadapan orang ramai ketika mereka menerima hukuman tersebut di Taman Bustanussalatin, Banda Aceh, semalam.
Hubungan seksual antara pasangan yang belum berkahwin diharamkan di Aceh yang merupakan satu-satunya wilayah yang mengamalkan undang-undang syariah di Indonesia.
Ia juga merupakan satu-satunya wilayah di mana hukuman sebat dilaksanakan.
Pasangan itu merintih kesakitan ketika anggota polis syariah bertopeng memberikan sebatan yang menyakitkan.
Mereka juga meminta untuk diberikan waktu untuk berehat seketika ketika proses sebatan itu dilakukan, lapor portal berita Serambinews.
Pasukan perubatan juga membantu pasangan tersebut dengan melakukan pemeriksaan kesihatan mereka.
Datuk Bandar Aceh, Illiza Sa’aduddin Djamal yang menyaksikan hukuman itu turut memberi minum kepada pesalah wanita yang berada dalam keadaan terlalu lemah ketika selepas disebat sebanyak 50 kali.
Illiza juga menitis air mata ketika melihat pasangan itu disebat.
Selepas hukuman sebat selesai dilakukan, pasangan zina tersebut terpaksa dipapah oleh petugas-petugas ke bahagian belakang tempat sebatan untuk mendapat rawatan lebih lanjut. – AGENSI