fbpx

Malaysia kesal Majlis Keselamatan PBB gagal lulus resolusi gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Malaysia melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan kegagalan berulang kali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan menangani salah satu tragedi kemanusiaan paling buruk sejak Perang Dunia Kedua.

Kementerian Luar berkata, ia susulan keputusan Majlis Keselamatan gagal meluluskan satu resolusi yang menggesa gencatan senjata serta-merta dan berkekalan, dan penghapusan sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Katanya, tindakan itu dibuat walaupun resolusi tersebut mendapat sokongan majoriti yang jelas negara anggotanya.

“Kegagalan berulang kali Majlis Keselamatan itu ekoran penggunaan kuasa veto.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang membunuh orang awam, tindakan genosid dan menggunakan kebuluran dan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata, masyarakat antarabangsa perlu meneruskan usaha-usaha untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Timur Tengah.

Katanya, rejim Zionis Israel seharusnya sedar bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Ini berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Pendekatan ini kekal sebagai pendirian berprinsip Malaysia dan selaras dengan sokongan berterusan masyarakat antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI