GEORGE TOWN – Seorang lelaki asing yang tular selepas perbuatannya mencabul wanita tempatan di kawasan tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini, Isnin lalu akhirnya diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 38 tahun pada pukul 12.45 tengah malam, Selasa lalu.
“Kejadian berlaku pukul 11.15 malam, Isnin lalu apabila suspek berusia 24 tahun mencabul mangsa di lokasi kejadian.
“Suspek ditangkap oleh orang awam yang berada di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, sebuah video berhubung kejadian itu tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dilengkapkan seterusnya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk pertuduhan.
“Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang bertindak pantas membantu menangkap suspek secara ‘red-handed’,” katanya. -KOSMO! ONLINE