KUALA LUMPUR – Keluarga lelaki warga United Kingdom (UK) yang dilaporkan hilang sejak 27 Mei lalu tiba di Malaysia, hari ini, bagi menjalankan proses pengecaman mayat.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, proses bedah siasat terhadap mayat lelaki yang ditemui di Lorong Maarof, Bangsar semalam sedang dijalankan di Patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.
“Proses bedah siasat bermula sekitar 10.30 pagi dan dijangka selesai hari ini.
“Keluarga lelaki berasal dari UK juga telah tiba di Malaysia bagi menjalankan proses pengecaman mayat,” ujarnya.
Menurut Ku Mashariman, kenyataan rasmi mengenai hasil bedah siasat dan pengecaman akan dikeluarkan selepas semua prosedur selesai.
Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di bahagian ruang lif sebuah bangunan dalam pembinaan di Bangsar, kira-kira pukul 5 petang.
Sebelum ini, seorang lelaki warga British dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mengembara secara berseorangan di ibu negara sejak 27 Mei lalu.
Mangsa, Jordan Johnson-Doyle yang berusia 25 tahun kali terakhir dilihat di sebuah premis hiburan di kawasan Bangsar.
Jordan dipercayai tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas menjelajah beberapa negara di Asia Tenggara dan menetap sementara di sebuah residensi di sekitar Bukit Bintang. – KOSMO! ONLINE