fbpx

Kehebatan Alcaraz terlalu sukar disekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALCARAZ menunjukkan permainan agresif dan pantas yang menjadi faktor utama kejayaannya ke separuh akhir. - AFP

PARIS – Bintang tenis dunia, Carlos Alcaraz membuktikan status selaku juara bertahan Terbuka Perancis apabila mempamerkan aksi garang untuk menyingkirkan pemain Amerika Syarikat (AS), Tommy Paul 6-0, 6-1, 6-4 di suku akhir awal pagi semalam.

Dalam aksi berlangsung selama 94 minit di gelanggang Philippe Chatrier, Alcaraz beraksi hampir sempurna dengan 40 pukulan kemenangan sekali gus menempah tiket ke separuh akhir menentang Lorenzo Musetti awal pagi esok.

Paul yang gagal mengimbangi kepantasan rentak permainan Alcaraz mengakui dia tidak punya banyak ruang untuk bernafas sepanjang perlawanan berlangsung.

“Dia bermain terlalu pantas dan agresif. Dari awal saya sudah berada dalam keadaan bertahan. Bahkan semasa rehat pun, dia dah bangun sebelum masa tamat.

“Saya cuba melambatkan tempo permainan, tapi dia bermain tenis dengan cara yang luar biasa hari ini,” kata Paul yang berada di ranking ke-12 dunia.

Paul sebelum ini mengharungi permainan hampir 11 jam dalam aksi pusingan terdahulu dan kali ini berdepan kesukaran pergerakan akibat kecederaan otot abdomen serta aduktor yang belum pulih sepenuhnya.

“Saya tak bergerak dengan baik tetapi saya tetap cuba sedaya upaya sebab ramai yang beli tiket untuk aksi malam ini. Memang bukan begini yang saya harapkan, tapi saya tetap cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Meskipun bergelut dengan kecergasan, Paul tetap berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Queen’s di London sebelum Wimbledon, namun bergantung kepada keputusan pemeriksaan kecederaannya dalam masa terdekat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI