fbpx

Indonesia lancar pakej rangsangan ekonomi lebih RM6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR dari udara pada 9 Mei lalu menunjukkan pemandangan ibu kota Indonesia, Jakarta. – AFP

JAKARTA – Indonesia melancarkan pakej rangsangan ekonomi AS$1.5 bilion(RM6.37 bilion)  semalam untuk merancakkan aktiviti pengguna selepas ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mencatat  pertumbuhan paling perlahan dalam tempoh lebih tiga tahun pada suku kewangan pertama.

Ekonomi Indonesia berkembang 4.87 peratus sejak setahun lalu dalam tiga bulan pertama 2025,  kadar yang lembab bagi negara membangun tersebut. Angka pertumbuhan itu kali terakhir dilihat semasa pandemik Covid-19 pada pertengahan 2021.

Presiden Prabowo Subianto sebelum ini dikritik kerana dasar ekonominya, termasuk memotong AS$19 bilion(RM80.64 bilion) daripada belanjawan negara untuk membiayai dana kekayaan berdaulat baharu.

Pakej rangsangan ekonomi  baharu yang dilancarkan itu termasuk diskaun untuk tiket kereta api, kapal terbang dan feri serta subsidi tol bagi meningkatkan aktiviti pelancongan.

Kerajaan juga akan menyalurkan bantuan sosial tambahan, sambil memberikan pindahan tunai kepada pekerja berpendapatan rendah dan diskaun untuk premium insurans pengangguran.

Seorang jurucakap kementerian kewangan memberitahu AFP  bahawa pakej itu berkuat kuasa semalam  selepas diumumkan awal minggu ini.

Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati berkata pada Isnin lepas bahawa pakej itu akan merangsang aktiviti ekonomi dengan insentif yang berkuat kuasa semasa cuti sekolah.

“Dengan rangsangan ini dan pelbagai pecutan program kerajaan, kami berharap pertumbuhan ekonomi boleh dikekalkan kepada hampir lima peratus pada suku kewangan kedua,” katanya dalam  satu sidang akhbar.

Ekonomi Indonesia terjejas disebabkan ancaman tarif 32 peratus oleh Presiden Donald Trump,  antara yang tertinggi di Asia.

Bursa saham Indonesia menyaksikan kejatuhan terbesarnya dalam tempoh lebih sedekad susulan  pengumuman tarif Washington itu pada April lepas.

Jakarta pula masih dalam perbincangan dengan Washington mengenai tarif tersebut sebelum jeda 90 hari berakhir, Julai ini

Indonesia berjanji untuk membeli lebih banyak produk Amerika bagi mengurangkan lebihan dagangannya dengan Washington, termasuk gandum, gas asli cecair dan gas petroleum cecair. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI