SEREMBAN – Seorang wanita yang juga ibu kepada empat orang anak didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan keperluan di sebuah pasar raya di Nilai, April lalu.
Tertuduh, Siti Aishah Zulkifli, 32, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti. Mahkamah turut menetapkan hukuman tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, pada 25 April lalu, kira-kira pukul 3.53 petang, wanita itu didakwa mencuri barangan keperluan milik sebuah pasaraya di Nilai.
Oleh itu, dia berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan selepas bertindak mencurigakan di kaunter pembayaran serta hanya membayar sebahagian barangan yang diambil seperti bawang, pisang dan roti berjumlah RM18.45 di kaunter itu.
Wanita itu kemudian dilihat keluar dari pasaraya menuju ke kawasan parkir sebelum ditahan pengawal keselamatan yang memintanya menunjukkan resit pembayaran.
Hasil semakan mendapati hanya sebahagian barangan telah dibayar dan tertuduh kemudiannya di bawa ke bilik kawalan keselamatan untuk tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE