PETALING JAYA – Lawatan rasmi delegasi Guinea-Bissau diketuai Presiden Umaro Sissoco Embalo ke Malaysia mencerminkan tekad bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak lima dekad lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut melihat Guinea-Bissau sebagai rakan penting dan pintu masuk strategik ke Afrika untuk merintis kerjasama lebih meluas dan bermakna.
“Pertemuan kami telah memacu usaha memperluas kerjasama strategik terutama dalam bidang minyak dan gas, tenaga boleh baharu, industri halal dan pendidikan teknikal.
“Bukan itu sahaja, perbincangan turut terarah kepada isu kesihatan dan kewangan Islam, selain menzahirkan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan di Gaza,” jelas Perdana Menteri dalam satu kenyataan di media sosial.
Terdahulu, Jeneral Umaro Sissoco Embalo mengepalai delegasi dari Guinea-Bissau telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 3 hingga hari ini.
Lawatan Ini juga merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada Februari 2020. – KOSMO! ONLINE.