KUALA LUMPUR – Seorang gelandangan dijatuhi dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang lebih RM300,000 milik seorang pemilik syarikat pelaburan, tahun lalu.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Marchell Jeff Lee Sin Ket, 39 selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan curangnya menolong menyembunyikan wang berjumlah RM314,790 seorang wanita berusia 59 tahun yang diketahui bukan miliknya bagi tujuan penipuan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebuah unit kondominium di Sentul pada 18 November 2024 hingga 12 Disember 2024 mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M.Saravanan memohon hukuman pemenjaraan ke atas tertuduh sebagai pengajaran dan pencegahan dengan mengambil kira kekerapan penipuan ‘scam’ berlaku sekarang ini.
Bagaimanapun, Marchell yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan berikutan ketika ini dia sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang, Johor atas kesalahan sama.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Hamidah Mat Deril menjatuhi hukuman penjara lapan bulan ke atas Marchell yang mengaku mengalih atau menyembunyikan wang RM173,000 milik seorang wanita berusia 49 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Sentul di sini pada 7 November 2024 hingga 9 Disember 2024. Hamidah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini. – KOSMO ONLINE!