MANCHESTER – Kapten Manchester United, Bruno Fernandes tidak pernah ‘gelap mata’ dengan tawaran lumayan dan nekad untuk terus kekal bersama The Red Devils mengharungi saingan musim depan.
Bintang dari Portugal itu mempunyai alasan tersendiri untuk menolak tawaran mewah kelab Arab Saudi, Al-Hilal yang berhasrat untuk menyatukannya dengan dua lagi rakan senegaranya, Joao Cancelo dan Ruben Neves.
Bagaimanapun, Fernandes menjelaskan dia mahu terus kekal bermain di peringkat tertinggi di Eropah dan yakin dirinya mampu melakukan semua itu.
“Ia mungkin menjadi keputusan yang mudah untuk berpindah kerana saya juga ada rakan, Ruben Neves dan Joao Cancelo di sana. Namun, saya mahu kekal di peringkat tertinggi kerana saya rasakan saya mampu bermain di pertandingan besar,” katanya.
Keputusan itu juga disebabkan faktor lain menjurus kepada hasrat pengurus pasukan, Ruben Amorim yang mahu Fernandes kekal di Old Trafford ketika beliau sedang berusaha memulihkan reputasi The Red Devils.
Fernandes juga menegaskan soal keluarga juga menjadi perkiraan utama kepada keputusannya kali ini kerana tidak mahu berdepan sebarang masalah dengan perubahan budaya yang terpaksa dihadapi di Timur Tengah.
“Saya bercakap dengan keluarga saya untuk mereka memahami mengenai masa depan saya. Isteri saya juga bertanya kerana dia sentiasa meletakkan karier profesional saya sebagai perkara utama berbanding perkara lain,” katanya. – AGENSI