LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca bakal berdepan tugas mencabar dan pembelian Liam Delap dijangka tidak mampu untuk menjadi penyelesaian terbaik pada musim depan.
Bekas pemain tengah The Blues, Emmanuel Petit percaya kehadiran Delap tidak akan menjamin apa-apa buat Chelsea sebaliknya Maresca perlu mencari jalan lebih baik untuk memastikan jentera serangan tampil lebih konsisten.
“Saya tidak fikir kehadiran Liam Delap akan jadi penyelesaian buat Chelsea kerana jika kamu lihat pasukan seperti Barcelona, Paris Saint-Germain, pemain sayap mereka sentiasa menghadirkan perbezaan kepada corak permainan.
“Kebanyakan orang memberi fokus kepada pemain No. 9 di Chelsea, namun bagi saya masalah terbesar adalah di posisi sayap. Mereka tidak membawa masuk apa yang mereka perlukan untuk bersaing di Eropah dan Liga Perdana Inggeris.
“Mereka perlu dapatkan lebih banyak bantuan jaringan daripada pemain sayap. Jika tidak mampu bawa pemain sayap yang mampu cetuskan bahaya, maka lupakan saja untuk bersaing,” katanya.
Walaupun gagal menyelamatkan Ipswich Town daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan, Delap nyata mencuri perhatian apabila menjaringkan 12 gol di Liga Perdana Inggeris hingga turut menarik minat Manchester United.
“Chelsea pernah menang Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris bersandarkan pemain No. 9 yang bagus, tetapi ketika itu mereka juga ada pemain sayap yang sangat berkualiti,” katanya. – AGENSI