JAKARTA – Mayat seorang remaja lelaki berada di dalam mulut buaya selepas dia disambar ketika berada di tebing sebatang sungai, lapor portal berita MailOnline semalam.
La Bayu, 17, sedang memancing bersama rakannya, Inguu di Sungai Kaleleha, tenggara Sulawesi pagi kelmarin ketika kejadian berlaku.
Kejadian ngeri yang dirakam anggota penyelamat memaparkan mayat remaja itu diseret di tebing sungai oleh reptilia tersebut.
Rakannya yang berada dit tempat kejadian mendengar jeritan mangsa, lapor portal berita Panduanrakyat.com.
Dia terjun ke dalam sungai dan mencekik buaya tersebut supaya ia melepaskan mayat La.
Buaya itu memusingkan badannya menyebabkan dia ‘terpelanting’. Rakan mangsa naik semula ke tebing sungai untuk meminta bantuan penduduk kampung.
Ketua Polis Buton Tengah, Deputi Komisioner Wahyu Adi Waluyo berkata, sepasukan anggota diketuai Inspektor Kamaludin tiba dilokasi kejadian bersama penduduk kampung yang berjumlah lebih 100 orang.
Sejurus tiba, mereka mendapati mayat La berada dalam rahang mulut buaya lebih 50 meter dari jambatan.
Penduduk kampung kemudian menggunakan jarring babi hutan untuk menangkap buaya tersebut.
“Penduduk kampung berjaya mengeluarkan mayat mangsa dan dibawa ke rumah mayat dengan menggunakan kenderaan,” katanya. – AGENSI