KUALA LUMPUR – Taktik enam wanita warga Afrika yang menawarkan khidmat seks di tepi jalan sekitar Bukit Bintang, di sini, serendah RM50 terbongkar apabila diberkas polis dalam serbuan awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kesemua wanita berusia antara 22 hingga 30 tahun itu ditahan menerusi operasi oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar pukul 4 pagi.
“Serbuan dilakukan di sekitar Jalan Changkat, Bukit Bintang hasil risikan berhubung kegiatan pelacuran yang dijalankan oleh warga asing tanpa dikawal mana-mana pihak.
“Dalam serbuan tersebut, polis menahan tiga wanita warga Nigeria, Uganda (dua) dan Senegal (seorang) disyaki menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan warga asing pada kadar serendah RM50 bagi setiap sesi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas enam keping kondom dan wang tunai berjumlah RM300 yang dipercayai hasil daripada kegiatan tersebut.
Menurut beliau, kegiatan itu dijalankan bermula pukul 8 malam sehingga 5 pagi di kawasan tumpuan pelancong.
“Modus operandi sindiket ini ialah menawarkan khidmat seks secara terus kepada pelanggan di tepi jalan, sebelum membawa mereka ke bilik penginapan yang disewa sendiri oleh suspek di sekitar Bukit Bintang.
“Siasatan mendapati kesemua suspek menetap di kawasan tersebut dan menjalankan kegiatan pelacuran secara bebas tanpa dikawal individu atau sindiket,” ujarnya.
Tambah Rusdi, kesemua tangkapan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan hanya memberikan maklumat secara lisan.
“Mereka dipercayai masuk ke negara ini sebagai pelancong, namun menjalankan kegiatan pelacuran jalanan secara ‘freelance’ tanpa pengawasan pihak ketiga.
“Malah, hasil siasatan mendapati mereka mampu menawarkan perkhidmatan kepada dua hingga tiga pelanggan setiap sesi,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. – KOSMO! ONLINE