PERTAHANAN Harimau Malaya, Dion Cools menjadi pemain terbaharu yang mengembangkan karier di Jepun selepas sah menjadi bintang baharu kelab liga utama negara itu, Cerezo Osaka.
Pengalaman Cools yang pernah bermain di pertandingan utama di Eropah dilihat menjadi antara faktor utama kepada keputusan Cerezo Osaka merekrut bekas pemain FC Midtjylland.
Cools yang akan sertai Harimau Malaya untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini akui tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu di Jepun.
“Saya begitu teruja untuk mendapat peluang ke Jepun dan berterima kasih kerana diberi kesempatan ini. Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan rakan sepasukan baharu, kakitangan kelab dan seluruh penyokong.
“Saya akan berikan segala-galanya untuk bantu pasukan raih sebanyak mungkin kemenangan dan mencapai sasaran. Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan,” katanya.
Sebelum ini, pengurusan pasukan memberikan penghormatan tinggi kepada Cools atas sumbangannya bantu kelab Thailand itu muncul juara liga, Piala FA, Piala Liga Thailand dan Piala Kelab Asia Tenggara.
“Terima kasih kepada @buriramunitedofficial atas pengalaman ini dan ia adalah satu penghargaan untuk membawa lencana pasukan ini dalam mencipta sejarah. Terima kasih juga kepada penyokong dan semua orang atas kejayaan, persahabatan dan kenangan ini,” kata Cools ketika mengumumkan perpisahannya bersama Buriram United.
Cerezo Osaka menerusi laman sosial Facebook juga telah memuat naik foto Cools dengan ucapan selamat datang buat pemain itu yang bakal menjadi pemain terbaharu menyertai mereka.