fbpx

Bintang takraw turun padang bantu komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN-PEMAIN kebangsaan turut menyertai Program Komuniti STL 2025 diadakan semalam dengan mengecat semula gelanggang sepak takraw Taman Mesra di Kajang.

PETALING JAYA – Program Komuniti Liga Sepak Takraw (STL) 2025 menerusi kempen Ini Gelanggang Kita yang diadakan semalam merupakan satu inisiatif kemasyarakatan dalam memperkasakan sukan sepak takraw serta mendekatkan diri dengan komuniti setempat melalui sukan.

Program anjuran Astro Arena dan Astro Kasih itu dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti bermakna yang mengangkat semangat perpaduan, kesukarelawanan dan kesukanan dalam kalangan masyarakat.

Inisiatif itu turut mendapat kerjasama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam menyemarakkan lagi penganjuran STL 2025 yang membuka tirai saingan STL Premier pada 17 Mei lalu menerusi siri Grand Prix di Terengganu.

Kerjasama erat bersama PSM mencerminkan usaha bersama dalam memartabatkan sukan sepak takraw yang kini semakin mendapat tempat di hati rakyat pelbagai lapisan.

Perkembangan itu diharap mampu memberi suntikan semangat baharu kepada komuniti untuk kembali bangkit dan terus menyokong sukan tradisional yang menjadi kebanggaan negara.

BINTANG skuad sepak takraw negara, Farham Adam tidak melepaskan peluang menyertai Program Komuniti STL 2025 yang diadakan di Kajang semalam.

Antara pengisian utama program adalah aktiviti gotong-royong melibatkan penyertaan pemain-pemain kebangsaan yang turut mewarnai saingan STL, personaliti serta penduduk setempat dengan tumpuan diberikan kepada kerja-kerja mengecat semula dan membaik pulih gelanggang sepak takraw.

Gelanggang Sepak Takraw Taman Mesra di Kajang dipilih kerana nilai sejarah tersendiri dan menjadi pusat riadah serta latihan komuniti sejak lebih 50 tahun lalu selain melahirkan ramai pemain pelapis dalam sukan sepak takraw.

Turut diadakan sesi interaktif bersama komuniti bagi menyemarakkan semangat kesukanan serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi sukan sepak takraw di peringkat akar umbi.

Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan dan Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John turut hadir bagi memeriahkan program serta menyantuni komuniti setempat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI