fbpx

Belasah pelajar Tingkatan Lima: Seorang lagi lelaki didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes membelasah seorang pelajar Tingkatan Lima hingga parah Mei lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

SEREMBAN – Seorang lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes membelasah seorang pelajar Tingkatan Lima hingga parah Mei lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Syazwan Asyraf Mohd Norazham, 21, mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan, suspek bersama-sama individu yang masih bebas dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas seorang mangsa lelaki berusia 17 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Gelanggang Futsal Kampung Sentosa Jaya di Seremban, di sini, kira-kira pukul 11 malam, 8 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fidha Misjedi, kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 berserta syarat tambahan, tertuduh tidak mengganggu mana-mana saksi sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurulain Anuar memohon wang jaminan paling rendah dikenakan ke atas tertuduh berikutan tertuduh menanggung ibu bapa serta lapan adik – beradiknya yang lain.

“Hari ini ibu dan adik tertuduh datang untuk ikat jamin. Ibu berusia 46 tahun merupakan seorang suri rumah, manakala adiknya 19 tahun bekerja sebagai jurukimpal dengan gaji RM1,000 sebulan.

“Tertuduh serta adiknya perlu menanggung mak ayah serta lapan adik-beradik lain. Justeru mohon wang jaminan paling rendah dan munasabah diberikan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 berserta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan pada 7 Julai ini untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sebelum ini, kejadian berkenaan tular di media sosial apabila mangsa yang juga pelajar tingkatan lima mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul sekumpulan lelaki akibat salah faham.

14 Mei lalu, lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, dalam kejadian yang sama.

Tertuduh terdiri daripada Shazrin Shah Mohd Norazham, 19; Nur Ariq Farhan Ismail, 21; Nur Ezwan Ezanie Rohaizad, 24; serta dua pesalah juvana masing-masing berumur 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI