fbpx

‘Anak tak sabar nak raya, tapi yang pulang jenazah berkain kafan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Mohd. Amirul Adli (kanan) di samping tiga rakannya yang maut iaitu Allahyarham Muhammad Arif Aifan (dari bawah), Muhammad Fahmi dan Muhammad Habil.

ALOR SETAR – “Anak tidak sabar untuk menyambut Aidiladha, namun yang pulang hanya jenazah anak berkain kafan.”

Demikian luahan ibu Allahyarham Muhammad Fahmi Jamel, 19, seorang daripada tiga remaja yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer (KM) 49.4, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tandop, di sini pada pukul 2.10 petang tadi.

Menurut Siti Fatimah Mat Rejab, 45, hatinya rasa berdebar apabila khidmat pesanan ringkas yang dihantar kepada anak sulungnya pada pukul 2.11 petang tidak berbalas.

“Saya menghantar mesej untuk bertanyakan lokasi dia di mana tetapi tidak berbalas. Tiba-tiba hati saya rasa berdebar.

“Setengah jam kemudian anak saudara menghubungi saya dan memaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa Fahmi, rasa macam nak pengsan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Nahas itu turut mengorbankan dua lagi rakan Muhammad Fahmi iaitu Muhammad Arif Aifan Derani dan Muhammad Habil Mohd Sobri, masing-masing berusia 19 tahun maut. Seorang lagi mangsa, Muhammad Adib Aiman Mohd Hasani, 19, parah.

Kesemua mangsa merupakan pelajar semester kedua di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra dalam jurusan kimpalan.

Siti Fatimah berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya pada cuti umum Hari Keputeraan Agong Isnin lalu.

“Arwah ada pesan minta saya belikan kemeja T dan seluar untuk beraya (Aidiladha) Sabtu ini. Saya sudah beli pada Sabtu lepas dan arwah sangat gembira apabila saya beritahu tentang itu, tetapi sekarang lain jadinya. Apapun kami reda,” ujarnya.

Sementara itu, menurut bapa Allahyarham Muhammad Habil, Mohd. Sobri Kamis, 47, mereka sekeluarga bercadang untuk bertolak ke Bagan Serai, Perak malam ini bagi menyambut Aidiladha.

“Cadangnya kami akan ke Perak apabila arwah sampai rumah nanti. Kali terakhir arwah hantar mesej kepada isteri saya pada pukul 1 tengah hari tadi beritahu nak balik.

“Arwah merupakan anak sulung dan menjadi harapan keluarga selain contoh kepada adik-adiknya. Kami reda dia sudah tiada,” katanya.

Dalam pada itu, pekarangan Jabatan Forensik HSB sayu dengan kehadiran waris mangsa yang berkumpul bagi menuntut jenazah dan tidak ketinggalan rakan-rakan mereka yang masih terkejut dengan pemergian tiga mangsa tersebut.

Nik Mohd. Amirul Adli Zulkifli, 19, memberitahu, mereka masih tergamam dengan berita kematian sahabat baiknya.

“Kali terakhir berjumpa di dewan makan tengah hari tadi, kami semua bersalaman kerana mahu pulang bercuti. Tiba-tiba pukul 2.30 petang tadi dapat berita mereka bertiga sudah tiada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI