fbpx

Pesta kemenangan bertukar tragedi, 11 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peminat berdiri di sebelah kasut yang ditinggalkan dan penghadang yang tumbang dalam rempuhan di luar Stadium M. Chinnaswamy di Bengaluru semalam. - AFP

NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, manakala lebih 30 lagi cedera dalam insiden rempuhan semalam, ketika orang ramai cuba memasuki stadium kriket di negeri Karnataka, selatan India, lapor laman berita ABC News.

Ia berlaku ketika puluhan ribu peminat kriket berkumpul di luar Stadium M. Chinnaswamy di bandar Bengaluru untuk meraikan pemenang Liga Perdana India, yang merupakan kejohanan kriket Twenty20 paling popular di dunia.

Ketua Menteri Karnataka, Siddaramaiah berkata, orang ramai cuba memecahkan salah satu pintu stadium dan masuk untuk mengambil bahagian dalam acara sambutan.

Menurut Siddaramaiah, 11 orang terbunuh dan 33 yang lain cedera, dengan kebanyakan yang cedera berada dalam keadaan stabil serta menerima rawatan di hospital.

“Pada masa sambutan, peristiwa malang ini tidak sepatutnya berlaku. Kami sedih dengan kejadian ini,” katanya kepada pemberita.

“Tiada siapa menjangkakan orang seramai ini. Stadium ini mempunyai kapasiti hanya 35,000 orang tetapi 200,000 hingga 300,000 orang datang,” tambahnya.

Dalam kejadian tersebut, peminat kriket keluar beramai-ramai untuk meraikan kemenangan pertama Liga Perdana India oleh pasukan Royal Challengers Bengaluru, Selasa lalu. 

Pasukan itu memberikan pas percuma kepada peminat untuk acara sambutan tersebut melalui laman webnya dan menggesa orang ramai mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh polis serta pihak berkuasa.

Saluran berita tempatan memaparkan sebilangan orang terbaring di tanah, manakala kakitangan kecemasan membawa mangsa ke dalam ambulans ketika perayaan di dalam stadium diteruskan.

Penganjur IPL, Lembaga Kawalan Kriket di India (BCCI) dalam satu kenyataan menyebut kejadian itu sebagai ‘malang’.

“Ini adalah sisi negatif populariti. Orang ramai obses dengan pemain kriket mereka. Penganjur sepatutnya merancangnya dengan lebih baik,” kata Setiausaha BCCI, Devajit Saikia. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI