SHAH ALAM – Polis Selangor menerima 101 laporan melibatkan penipuan pelaburan mesin kopi layan diri membabitkan dua buah syarikat dengan nilai kerugian RM6.7 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan tersebut diterima dalam tempoh Januari hingga April lalu dengan 10 kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, manakala selebihnya 91 laporan polis yang lain telah dirujuk ke laporan polis yang telah dibuka kertas siasatan dan disiasat bawah seksyen sama.
“Hasil siasatan mendapati mangsa telah diberikan penerangan dan representasi berkenan pelaburan mesin layan diri yang ditawarkan suspek.
“Pelaburan ini adalah berdasarkan pembelian mesin layan diri yang menjanjikan pulangan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang tertarik dan menyertai program pelaburan itu telah membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan suspek.
Tegasnya, mangsa tidak tahu sama ada pelaburan tersebut wujud atau tidak.
“Pada peringkat awal, mangsa ada menerima keuntungan tetapi selepas beberapa lama didapati mangsa tidak memperolehi apa-apa pulangan.
“Kertas siasatan yang telah dilengkapkan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan dibuat bawah tiada pertuduhan dibawah jenayah penipuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE