PETALING JAYA – Satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di TikTok memaparkan kejadian luar biasa apabila belasan ekor katak dilihat melompat-lompat di beranda sebuah rumah pada pukul 2 pagi, Sabtu lalu.
Menerusi hantaran oleh pengguna @bunge_cokelat2016 di TikTok, pada mulanya dia menyedari terdapat kesan percikan darah sebelum membuat semakan rakaman CCTV, yang kemudian mengejutkannya dengan kehadiran belasan katak pada malam tersebut.
“Malam yang bagi akak memang pelik, katak lebih 15 ekor melompat dekat beranda rumah. Ada petanda apa-apa ke?” tulisnya di ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Tambahnya, dia tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berlaku akibat cuaca yang tidak menentu pada hari berkenaan.
Tinjauan di ruangan komen pula mendapati rata-rata netizen berasa gusar dan mengaitkannya dengan unsur mistik, antaranya sihir atau busung katak yang mungkin dihantar oleh individu tertentu.
“Takutnya, cuba bawa pergi berubat kak, takut orang hantar sihir atau busung katak,” tulis pengguna @aishahzakaria.
Namun begitu, terdapat juga pengguna lain yang bersangka baik dengan mendakwa katak-katak itu tertarik kepada serangga yang berkumpul di kawasan beranda.
“Rumah saya pun macam ni juga. Bila kekatu terbang dekat lampu, bawah tu mesti banyak katak. Dekat 30 ekor pun ada, sebab katak tangkap kekatu,” kata @Qurratuainiey. -KOSMO! ONLINE
@bunge_cokelat2016 31/05/2025 malam yang bagi akak memang pelik, katak lebih 15 ekor melompat dekat beranda rumah..ada petanda apa2 ke@ sebab waktu tu Hari nak hujan #katak #sihir #perubatanislam #pandangan ♬ Astagfirullah Al Azeem – Qurania