NARATHIWAT, THAILAND – Impian penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan untuk keluar dari penjara buat kali keempat sekali lagi berkecai apabila mereka perlu menjalani tambahan sebulan tempoh tahanan di Penjara Wilayah Narathiwat sehingga 6 Julai depan.
Memetik laporan apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Narathiwat memaklumkan pihak pendakwa raya telah memfailkan rayuan agar tidak membebaskan kesemua rakyat Malaysia itu pada 30 Mei lalu.
Menurutnya, rayuan itu menyaksikan Eda Ezrin bersama suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, perlu menjalani tambahan tempoh pemenjaraan selama sebulan di Penjara Pusat Narathiwat sehingga 6 Julai depan.
“Dadah yang dirampas daripada mereka terlalu lalu lama. Kes ini mungkin akan dibawa ke Mahkamah Rayuan sebelum ke Mahkamah Agung.
“Kes yang dihadapi oleh enam rakyat Malaysia itu mungkin akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Jika bebas, semua akan dilepaskan. Sekiranya didapati bersalah, mereka berenam akan ke penjara,” katanya.
Jurucakap mahkamah itu memberitahu, ini merupakan kali keempat mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan selepas kesemua tertuduh dibebaskan pada 6 Mac lalu.
Menurutnya, sebelum tempoh 6 Julai, pendakwa raya hanya boleh mengemukakan rayuan untuk perbicaraan semula kes itu di Mahkamah Rayuan.
“Mengikut undang-undang Thailand, pendakwa raya dibenar mengemukakan empat kali permohonan bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan. Pihak pendakwa raya mesti mengemukakan permohonan itu dari sebulan ke sebulan dan tidak lebih empat kali,” katanya.
Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan pertama pendakwa raya antara 6 Mac hingga 6 April, kedua (6 April hingga 6 Mei) dan ketiga (6 Mei hingga 6 Jun).
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda bersama suami dan empat lagi rakan dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Mereka dipenjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak perlu membayar denda kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira didenda dengan jumlah sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Mereka juga tidak perlu membayar denda kerana sudah menjalani tempoh pemenjaraan di Penjara Wilayah Narathiwat.
Salah seorang daripada peguam keenam-enam tertuduh, Sufian Abdul Aziz berkata, enam anak guamnya masih perlu berada dalam penjara untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan.
Menurutnya, ia berikutan mereka perlu menunggu sekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah pada 6 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE