TANGKAK – Suspek yang dipercayai mengelar leher isterinya sehingga mati dalam kejadian di Taman Cahaya, Bukit Gambir, kelmarin didakwa tidak membenarkan mangsa berjumpa ahli keluarganya sejak Ramadan lalu.
Menurut ibu mangsa, Fatimah Seman, 63, sejak larangan itu anaknya, Iecah Junus, 34, hanya ‘curi-curi’ berjumpa dengannya di Pusat Pengumpulan Buah Kelapa Sawit) atau rem.
“Sejak bulan puasa hari tu mak cik akan pergi rem (Pusat Pengumpulan Buah Kelapa Sawit) kalau nak jumpa dia.
“Kali terakhir dapat jumpa dia tiga hari lepas, kemudian pada petang hari kejadian yang dia nak kena bunuh tu dia panggil mak cik datang rem untuk ambil beras dia beli dari Thailand,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong, di sini, hari ini.
Ujarnya, anaknya yang bekerja sebagai kerani telah berkahwin dengan suspek berusia 33 tahun pada 2023, namun masih belum dikurniakan cahaya mata.
“Mak cik ingat dia dalam keadaan baik sebab dia pergi berjalan, belikan beras. Suami dia tak kasi jumpa mak cik, mak cik tak ada masalah, mak cik pergi ke rem jumpa dia,” ujarnya sayu.
Fatimah bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keperibadian menantunya itu. – KOSMO! ONLINE