TANGKAK – “Dalam sebulan ni, mak cik dapat rasa dia (mangsa) akan mati.”
Itu luah Fatimah Seman, 63, ibu kepada Lecah Junus, 34, wanita yang mati dipercayai akibat dikelar suaminya dalam kejadian di Taman Cahaya, Bukit Gambir, kelmarin.
Katanya, naluri ibunya kuat mengatakan sesuatu yang buruk akan menimpa anak kedua daripada empat beradik itu ekoran hubungan keluarga mereka semakin renggang sejak Ramadan lalu.
“Bulan lepas lagi mak cik dapat rasa, mak cik cakap dalam hati, anak aku akan mati, dia akan mati.
“Malam suaminya datang bakar rumah ni pun gerak hati mak cik ni kata dia (suspek) nak hantar sesuatu kepada kami, mak cik ada juga cakap perkara ini dekat suami,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong, di sini, hari ini.
Kosmo! malam tadi melaporkan seorang lelaki dipercayai mengelar isterinya sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir di sini.
Menurut sumber, selepas membunuh isterinya, suspek berusia lingkungan 30-an itu kemudian telah ke rumah mentuanya di Kebun Baru, di sini sebelum cuba membakar kediaman keluarga tersebut.
Perbuatan suspek bagaimanapun disedari dan hanya beberapa buah kenderaan di luar kediaman yang musnah akibat dibakar.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian itu. – KOSMO! ONLINE