TANGKAK – Lelaki yang dipercayai mengelar isterinya sehingga mati pada Isnin lalu disyaki baru berpindah masuk ke kediaman baharu mereka sebelum kejadian ngeri itu berlaku.
Tinjauan Kosmo! di kediaman itu di Jalan Cahaya malam tadi mendapati kawasan perumahan tersebut sunyi susulan kebanyakan rumah masih belum dihuni pembeli.
Kediaman bersebelahan rumah pasangan itu juga dipercayai masih kosong susulan sedang diubah suai.
Pemerhatian lanjut di lokasi menemui pita kawasan larangan polis yang masih tergantung pada bahagian kiri pagar kediaman tersebut.
Kosmo! malam tadi melaporkan seorang seorang lelaki dipercayai mengelar isterinya sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir di sini, semalam.
Menurut sumber, selepas membunuh mangsa, suspek berusia lingkungan 30-an itu kemudian telah ke rumah mentuanya di Kebun Baru, di sini sebelum cuba membakar kediaman keluarga tersebut.
Perbuatan suspek bagaimanapun disedari dan hanya beberapa buah kenderaan di luar kediaman yang musnah akibat dibakar.
Tambahnya, suspek telah melarikan diri dengan pulang ke kediamannya di Bukit Gambir sebelum berjaya diberkas polis kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kenyataan media berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Suspek lelaki dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini untuk mendapatkan permohonan reman. – KOSMO! ONLINE