BERLIN – Pemain tengah Jerman, Joshua Kimmich mengakui kagum dengan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Allianz Arena awal pagi esok.
Dia menganggap legenda Real Madrid itu merupakan salah satu pertama dalam sejarah bola sepak dunia kerana masih mampu beraksi di pentas tertinggi meskipun usianya sudah memasuki 40-an.
Kimmich berkata, semua pemain dalam skuad Die Mannschaft masih jauh ketinggalan dari segi statistik jika dibandingkan dengan Ronaldo yang sudah pun menjaringkan 136 gol bersama Portugal di pentas antarabangsa.
“Angka itu merupakan sesuatu yang sangat menakjubkan, ditambah pula dengan aksi konsisten yang ditampilkan (Ronaldo) dalam setiap perlawanan. Dia kekal bermain di pentas tertinggi selama lebih 20 tahun.
“Bagi saya, itu sangat luar biasa. Apa yang saya tahu, dia sudah menjaringkan lebih 130 gol buat pasukan negaranya sedangkan kami masih jauh jika dibandingkan pencapaiannya,” kata kapten Jerman itu.
Sementara itu, Kimmich yang akan melakukan penampilan ke-100 bersama Jerman mengakui gembira dengan statistik tersebut, namun ketiadaan trofi di peringkat antarabangsa masih dianggap sebagai kekurangan.
“Sudah tentu saya bangga apabila dapat melakukan penampilan ke-100 bersama pasukan negara. Bagaimanapun, sebagai pemain, sudah tentu saya mahukan trofi dan ia masih belum dapat direalisasikan,” ujarnya. – AGENSI