PUTRAJAYA – Presiden Guinea-Bissau, Jeneral Umaro Sissoco Embalo yang dalam lawatan pertamanya ke Malaysia diberi sambutan rasmi negara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Embalo disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar pukul 9.02 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Beliau kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai oleh Mejar Mohamad Waqyiudin Abd. Rahman.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Menteri Kabinet lain.
Menerusi kunjungan rasmi ini, kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan yang tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan serta pembangunan kapasiti.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
Embalo dan delegasi seterusnya akan diraikan Perdana Menteri dengan menghoskan jamuan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata, Malaysia dan Guinea-Bissau telah menjalin hubungan diplomatik pada November 1974.
Jelasnya, hubungan dua hala antara kedua-dua negara adalah baik, terutamanya komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala.
“Ini seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).
“Pada tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau telah mencapai RM4.1 juta, dengan nilai eksport Malaysia ke Guinea-Bissau sebanyak RM4.04 juta dan import berjumlah RM0.06 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE