PONTIAN – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas empat pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di sebuah rumah di Taman Mutiara pada bulan lalu.
Tertuduh, Lau Keat Lim, 35, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan bagi kesalahan mengedar MDMA dibacakan dihadapan Majistret Arina Azmin Ahmad Marzuki.
Bagaimanapun tiada pengkuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 6.4 kilogram (kg) di sebuah rumah di Taman Mutiara pada kira-kira pukul 6.10 petang, 21 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebat tidak kurang 12 kali, sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.
Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan berkaitan pemilikan dadah lain di lokasi dan masa yang sama iaitu memiliki 20.04 gram methamphetamine, 5.66 gram ketamin dan 1.06 gram methamphetamine
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE