KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia apabila mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Istora Senayan hari ini, pasangan No. 4 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 21-11, 16-21, 21-14 dalam tempoh hampir sejam.
Ee Wei berkata, meskipun berdepan cabaran sukar sepanjang perlawanan itu, namun dia dan Tang Jie masih mampu mengekalkan rentak konsisten selain cuba mengeluarkan permainan mereka yang sebenar.
“Saya fikir kami berdepan kesukaran di atas gelanggang pada perlawanan hari ini kerana masih belum mendapat rentak sebenar. Bagaimanapun, kami tetap memberikan kepercayaan kepada satu sama lain.
“Kami masih lagi berjuang untuk kembali mendapatkan rentak sebenar. Agak lega kerana kami masih mampu untuk mencatat kemenangan ke atas mereka,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sejak kembali bergandingan pada Terbuka Singapura minggu lalu, Tang Jie dan Ee Wei dilihat masih tercari-cari rentak sama seperti ditampilkan awal musim ini yang menyaksikan mereka mara ke suku akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka India Januari lalu.
Sementara itu, Tang Jie pula mengakui, aksi ditampilkan Tanisha sentiasa memberikan mereka kesukaran selain menganggap pemain berusia 22 tahun berkenaan memiliki corak permainan cukup agresif.
“Apabila berdepan Tanisha, dia sentiasa membuatkan kami berdepan kesukaran kerana corak permainan agresif dan kelebihan fizikal dimilikinya. Ia membuatkan kami teruja untuk bermain dan kekal konsisten,” ujarnya.
Menjelang pusingan kedua esok, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan bertemu beregu Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch yang menewaskan satu lagi wakil India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh 21-15, 21-9. – KOSMO! ONLINE