fbpx

Malaysia sasar 500,000 pelancong UK sempena Visit Malaysia 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dikongsi di laman Facebook Ahmad Zahid.

PETALING JAYA – Malaysia menyasarkan jumlah pelancong dari United Kingdom (UK) meningkat sehingga 500,000 orang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini jumlah pelancong UK ke Malaysia adalah sekitar 390,000 orang setahun.

Selaras dengan hasrat itu katanya, beliau telah melancarkan kempen antarabangsa Visit Malaysia 2026 di London.

“Pelancaran ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen Malaysia untuk mempromosikan sektor pelancongan negara di pentas global dengan penekanan terhadap konsep pelancongan lestari, budaya mesra pelancong, serta pengalaman unik seperti ‘Inap Desa’ yang menonjolkan keunikan kehidupan luar bandar Malaysia.

“Malaysia bukan sekadar sebuah destinasi pelancongan. Kita adalah jambatan budaya, alam dan hospitaliti yang mampu menghubungkan hati, membuka peluang dan mencipta kenangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang ketika ini dalam rangka lawatan di London juga yakin pendekatan strategik itu akan memperkukuh lagi hubungan dagang dan pelancongan Malaysia–UK.

Selain itu katanya, ia mampu menjana manfaat langsung kepada usahawan, pelabur dan rakyat kedua-dua negara.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kedua-dua negara juga akan mewujudkan satu jawatankuasa bersama antara persatuan perniagaan francais dalam usaha memperkukuhkan sektor berkenaan.

Jelas beliau, usaha tersebut dilaksanakan sebagai platform sokongan untuk membantu jenama francais Malaysia menembusi pasaran UK secara menyeluruh menjelang tahun depan.

“Satu cadangan telah dikemukakan untuk menjadikan sektor francais sebagai fokus utama dalam Malaysia–UK SME Working Group di bawah Joint Economic and Trade Committee (JETCO).

“Sasaran kita adalah jelas untuk mencapai RM100 bilion jualan francais menjelang 2030. Malaysia turut membuka pintu kepada francais dari United Kingdom untuk meneroka potensi besar pasaran ASEAN melalui Malaysia. Dalam masa yang sama, kita berusaha memperluas lagi kehadiran jenama francais Malaysia ke pasaran UK yang bernilai lebih £19 bilion (RM109.1 bilion) setahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI