PETALING JAYA – Seorang pengguna mendakwa berdepan detik mencemaskan apabila pemandu e-hailing membatalkan tempahan secara tiba-tiba sebelum meminta bayaran tunai sebanyak RM90 untuk perjalanan dari Kuala Lumpur Sentral ke Bangi.
Berdasarkan satu hantaran tular di aplikasi Threads, mangsa mendakwa pemandu terbabit bukan sahaja membatalkan tempahan malah tidak membenarkannya turun dari kenderaan.
Lebih mengejutkan, pemandu itu turut makan ketika sedang memandu dan berdolak-dalik apabila ditanya mengenai pembatalan tempahan tersebut.
“Bila kita tanya dia pasal ‘cancel booking’ dia cakap nanti dia perbaharui permintaan. Akhirnya, dia minta duit secara tunai.
“RM90 dari KL Sentral ke Bangi. Bila saya minta resit, dia terus berlalu begitu sahaja,” katanya
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen meminta mangsa berkenaan untuk membuat laporan bagi mengelakkan orang ramai tertipu dengan individu terbabit.
“Tolong lapor. Sebenarnya sebagai pemandu, kami tidak boleh buat macam itu. Salah,” kata @khairianwarbadri.
“Boleh buat aduan dan sertakan sekali dengan gambar dan video,” kata @idcthonotime4u.
Sementara itu dalam satu hantaran, Grab memaklumkan profil pemandu telah diserahkan kepada Pasukan Latihan Pemandu untuk tindakan lanjut.
“Kami telah ambil maklum laporan ini melalui aplikasi Thread, dan profil pemandu berkenaan telah diserahkan kepada Pasukan Latihan Pemandu untuk tindakan lanjut. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami,” katanya. – KOSMO! ONLINE.