TANGKAK – Tragedi menyayat hati seorang kerani dikelar sehingga mati oleh suaminya dalam kejadian di Taman Cahaya, Bukit Gambir kelmarin dipercayai berpunca daripada konflik keluarga.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib ketika dihubungi pemberita berkata, mangsa, Iecah Junus, 34, dipercayai telah dibunuh suspek berusia 33 tahun kira-kira pukul 4.30 petang.
Ujarnya, kejadian itu bagimanapun hanya terbongkar selepas suspek bertindak membakar rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong, pada lewat pagi semalam.
“Suspek berjaya ditangkap oleh adik iparnya yang kemudian membawanya ke Balai Polis Bukit Gambir.
“Hasil soal siasat awal suspek memberitahu mangsa telah tiada (dibunuh) dan sepasukan anggota telah ke kediaman pasangan berkenaan,” katanya hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan di lokasi telah menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan ditutup dengan selimut di ruang tamu.
“Kita juga menjumpai pisau berhampiran mayat dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
“Motif awal kita percaya ini berkaitan dengan masalah keluarga,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing dilakukan ke atas suspek didapati negatif dadah, namun lelaki tersebut mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dan telah dijatuhi hukuman denda RM1,800 pada 2017.
Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api.