fbpx

Kes keracunan vape berperisa dadah meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia (USM) mengesahkan berlaku peningkatan mendadak kes keracunan akibat penggunaan vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang, sejak tahun 2022.

Pegawai Farmasi Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun PRN USM, Mohd. Fadhli Razali berkata, trend ini merupakan satu ancaman baharu kepada masyarakat dan perlu ditangani segera bagi mengelak lebih ramai anak muda terjebak dalam penyalahgunaan dadah sintetik terutama kanabinoid.

Menurutnya, PRN telah merekodkan sebanyak 76 panggilan berkaitan kes keracunan disyaki akibat pendedahan kepada vape dari tahun 2020 hingga 2024.

“Peningkatan ketara dikesan bermula tahun 2022 dengan 17 kes atau 65 peratus daripada jumlah tahunan.

“Kes terus meningkat saban tahun, apabila pada 2023 sahaja terdapat 27 kes atau 79 peratus dan pada 2024 sebanyak 26 kes atau 68 peratus. Majoriti melibatkan produk yang dikenali sebagai Magic Mushroom Vape,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, kumpulan usia yang paling terkesan adalah remaja antara 15 hingga 19 tahun iaitu sebanyak 41 peratus, diikuti individu 20-an sebanyak 53 peratus sekali gus mencerminkan krisis ini semakin menular dalam kalangan generasi muda.

“Antara gejala yang dialami oleh pesakit termasuk sawan, pengsan, muntah, halusinasi, delusi serta perubahan sikap ketara seperti menjadi agresif, malah terdapat kes yang menunjukkan gejala serius hanya selepas satu atau dua sedutan.

“Lebih membimbangkan, ada pesakit yang mengalami gangguan psikiatri serta tingkah laku berbahaya kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Ini menunjukkan potensi bahayanya sangat tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI