KUALA LUMPUR – Identiti mayat seorang lelaki yang ditemui di sebuah bangunan dalam pembinaan di Bangsar Hill Park, di sini, hari ini sedang dikenal pasti.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, seramai enam anggota dan sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan sekitar pukul 4.57 petang.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat mayat lelaki yang tidak dapat dikenal pasti identiti berada di dalam lubang ‘shaft’ lif yang dipenuhi air bangunan dalam pembinaan.
“Pihak Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sedang mengambil sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mayat tersebut untuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di lokasi terbabit.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti identiti mayat tersebut sama ada mempunyai kaitan dengan kehilangan lelaki warga United Kingdom yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Terdahulu, seorang pengembara British Jordan Johnson-Doyle, 25, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di sebuah premis hiburan di kawasan Bangsar pada 27 Mei lalu.
Jordan dipercayai tiba di Malaysia pada 17 Mei selepas menjelajah beberapa negara di Asia Tenggara dan menetap sementara di sebuah residensi di sekitar Bukit Bintang. – KOSMO! ONLINE