BANGKOK – Sebuah keluarga di Thailand mengadakan majlis pengebumian bertemakan disko bagi menghormati hasrat terakhir mendiang saudara lelaki mereka, lapor laman berita Viral Press.
Keluarga kepada lelaki itu melakukan ‘acara perpisahan’ luar biasa dengan mengubah pengebumian mendiang menjadi sambutan pesta yang meriah di Chanthaburi.
Rakaman video menunjukkan suasana meriah dengan tetamu dan saudara-mara menari mengikut muzik rancak.
Menurut waris, mendiang merupakan penyanyi parti yang ceria dan menyara hidup dengan membuat persembahan di majlis-majlis serta terkenal dengan sifat suka berseronok.
Sebelum meninggal dunia, dia meninggalkan arahan khusus iaitu tiada kesedihan, tiada pakaian hitam dan tiada lagu duka.
Mendiang turut meminta tetamu memakai pakaian berwarna-warni, memasang lampu sorot dan sistem bunyi miliknya digunakan dalam majlis penghormatan terakir untuknya.
Hanya muzik yang menggembirakan dibenarkan dan tetamu digalakkan untuk menari dan meraikan kehidupan mendiang. – AGENSI