fbpx

Kabinet akan bincang dasar mobiliti dron- PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika hadir Forum Ilmuan Malaysia Madani Siri 6, di Menara Prasarana, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA – Kerajaan akan meneliti dasar berkaitan mobiliti dron dan penggunaan ruang udara altitud rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, operasi dron setakat ini masih terhad di kawasan pedalaman dan mengakui keperluan untuk mengkaji isu tersebut secara mendalam.

“Kita akan bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet esok,” katanya ketika berucap dalam forum Ilmuan Malaysia Madani Siri ke 6 di sini, malam ini.

Anwar berkata demikian ketika diajukan pertanyaan berkaitan penggunaan ruang udara rendah untuk tujuan mobiliti.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Malaysia masih belum mempunyai strategi khusus berhubung mobiliti altitud rendah, terutamanya penggunaan dron pada paras bawah 1,000 meter.

“Kita belum ada strategi berkaitan perkara seperti tempat letak (dron) atau mobiliti bandar. Mobiliti menggunakan dron masih di peringkat awal, khususnya dari segi teknologi yang mampu membawa penumpang.

“Terdapat banyak cadangan daripada syarikat swasta untuk memperkenalkan dron kargo, namun kita belum ada kerangka undang-undang yang menyeluruh,” ujarnya.

Bagaimanapun, Anthony Loke memaklumkan bahawa keutamaan kerajaan pada masa ini adalah terarah kepada sistem pengangkutan darat.

“Malah untuk kenderaan autonomi sekalipun, kita masih belum ada kerangka perundangan.

“Memang ada garis panduan dan projek perintis dijalankan di Cyberjaya, tetapi belum ada undang-undang rasmi. Saya fikir kita akan meneliti perkara ini, tetapi bagi saya ia bukan keutamaan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI