NOALE – Pelumba Aprilia, Jorge Martin tidak akan kembali beraksi dalam masa terdekat pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini meskipun tahap kecergasan sudah bertambah baik.
Berdasarkan perkembangan terkini dikongsikan pasukan dari Itali itu, juara dunia tersebut menunjukkan perkembangan positif terhadap kecederaan rusuk serta paru-paru dialaminya sebelum ini.
Imbasan yang dilakukan terhadap Martin pada bahagian rusuk dan pergelangan tangan menunjukkan ia sudah semakin pulih, namun dia tidak mungkin kembali dalam perlumbaan terdekat.
“Jorge Martin sudah diperiksa oleh Dr. Xavier Mir dan Dr. Angel Charte bagi rawatan susulan. Dia menjalani pemeriksaan pada bahagian dada dan pergelangan tangan, keputusannya agak positif.
“Bahagian (rusuk) yang retak sebelum ini boleh dikatakan sudah bercantum semula walaupun masih ada kelihatan. Rawatan susulan akan dibuat dalam tempoh sebulan bermula dari sekarang,” kata Aprilia.
Sebagai rekod, pelumba Sepanyol itu terlepas beberapa aksi perlumbaan awal musim ini susulan kecederaan dialami selepas terjatuh ketika melakukan sesi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang pada Februari lalu.
Bagaimanapun, dia kembali menyertai perlumbaan pada Grand Prix (GP) Qatar, April lalu, namun sekali lagi terlibat dalam kemalangan, sekali gus menjadikan kecederaan yang dialami semakin serius.
Justeru, tidak ada tarikh tepat bilakah Martin akan kembali beraksi meskipun dia menyatakan hasrat untuk meninggalkan Aprilia sebaik sahaja saingan musim ini berakhir. – AGENSI