PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di 11 negeri termasuk seluruh negeri Perlis sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, hujan lebat turut diramal di beberapa kawasan di negeri Kedah membabitkan Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Yan dan Kuala Muda.
“Manakala di Perak melibatkan kawasan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim),” katanya.
Tambahnya, cuaca buruk turut dijangka melanda Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan manakala di Terengganu pula melibatkan Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Sementara itu, kawasan yang terlibat di Pahang ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Temerloh, Maran, Bera dan Rompin.
Katanya, situasi sama dijangka berlaku di Selangor (Hulu Selangor), Negeri Sembilan (Jempol), Johor (Segamat dan Mersing).
“Bagi Sarawak pula, hujan lebat dijangka berlaku di kawasan Kuching melibatkan kawasan Bau dan Lundu manakala di Sabah pula melibatkan Tawau di kawasan Tawau, Kunak dan Semporna” ujarnya. – KOSMO! ONLINE