KUALA LUMPUR – Harimau Malaya menerima empat lagi pemain warisan berprofil tinggi yang akan memperkuatkan pasukan menghadapi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.
Empat pemain berkenaan adalah Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado yang mana kesemuanya sudah pun menyertai latihan rasmi pasukan diketuai Peter Cklamovski ketika ini.
Machuca ketika ini dipinjamkan ke Velez Sarsfield di Argentina daripada kelab Brazil, Fortaleza sementara Irazabal merupakan tonggak pertahanan Sabah yang bersaing di Azerbaijan dan turut melayakkan diri ke pusingan pertama kelayakan Liga Europa musim depan,
Figueiredo pula merupakan penggempur utama Istanbul Basaksehir yang menamatkan Liga Super Turkiye di kedudukan keempat musim ini sekali gus layak beraksi di pusingan kelayakan Liga Konferens Europa.
Holgado sememangnya berada dalam kelas tersendiri dalam saingan domestik di Colombia bersama kelabnya, America de Cali yang menyaksikan dia kini menduduki tangga kelima senarai penjaring terbanyak menerusi tujuh gol.
Keempat-empat pemain berkenaan menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan dan bersedia untuk memperkukuh skuad negara demi merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia.
“Sejak saya tiba di kem latihan negara, Malaysia telah memberikan yang terbaik dan saya dapat merasakan ia sesuatu yang amat istimewa untuk mewakili Harimau Malaya. Ia adalah satu penghormatan dan saya akan berikan segalanya,” kata Machuca.
Nada sama turut disuarakan Holgado dan Irazabal yang berkongsi keterujaan dalam misi mereka memberikan persembahan terbaik buat Harimau Malaya.
Dalam masa sama, Figueiredo juga menyatakan hasratnya untuk melangkah lebih jauh bersama skuad kebangsaan di pentas peringkat Asia.
“Secara peribadi, musim ini amat bermakna bagi saya. Dan kini dapat mewakili Malaysia serta berkongsi impian ini bersama anda semua untuk melangkah lebih jauh di peringkat Asia dan dunia.
“Saya tak sabar merasai sokongan dan kasih sayang daripada para penyokong. Ia sesuatu yang unik dan luar biasa,” jelas penyerang yang meledak tujuh gol daripada 34 aksi Liga Super Turkiye musim ini.
Ketika ini, Harimau Malaya sudah pun memiliki beberapa pemain warisan berprofil tinggi antaranya Dion Cools, Hector Hevel dan terbaharu Facundo Garces. – KOSMO! ONLINE