SUBANG JAYA – Sebuah bas ekspres yang membawa 12 penumpang terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan dalam satu kejadian di Kilometer 35.8 Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam, ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Pasir Gudang, Johor.
Menurutnya, bas ekspres itu berlepas dari Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam pada pukul lebih kurang 9.15 malam dan membawa seramai 12 penumpang.
“Siasatan awal mendapati sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti telah memotong secara berbahaya dari lorong kanan ke kiri.
“Tindakan itu menyebabkan pemandu bas hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Wan Azlan berkata, akibat kejadian itu, seorang penumpang mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, usaha sedang dijalankan untuk mengesan kenderaan terbabit dan siasatan lanjut masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE