fbpx

Amir UK’s putih mata, gagal terbang ke Tanah Suci secara tajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyanyi, Mohd Azmir Muhammad Yusof atau lebih dikenali Amir UK's bersama isteri, Sarimah Ahmad antara jemaah haji yang terkandas akibat ditipu pihak tidak bertanggungjawab di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang di sini, hari ini.-Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG- Seramai 82 bakal jemaah yang ditawarkan menunaikan haji secara tajaan oleh pihak tertentu berputih mata selepas mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini apabila gagal berlepas ke Tanah Suci semalam.

Difahamkan, kumpulan jemaah itu dijanjikan tajaan menggunakan Visa Mujamalah, namun sehingga semalam mereka tidak menerima tiket penerbangan dan dokumen berkaitan untuk melaksanakan haji.

Menurut mangsa, Muhammad Azmir Muhammad Yusof, 56, dia dan isterinya, Sarimah Ahmad, 51, terpaksa melupakan hasrat ke Tanah Suci selepas tiga hari menunggu untuk terbang ke Tanah Suci.

Penyanyi kumpulan UK’s itu memberitahu, mereka berada di lapangan terbang sejak 1 Jun lalu selepas dijadualkan berlepas pada hari berkenaan.

“Kami dimaklumkan akan terbang pada pukul 5 petang menerusi penerbangan Saudia Airlines, tetapi selepas melihat mesej WhatsApp, penerbangan itu ditunda pada 2 Jun pula.

“Apabila sampai malam 2 Jun di KLIA, jemaah dimaklumkan akan terbang pula pada pagi 3 Jun, tetapi tidak dimaklumkan waktunya secara tepat.

“Kami juga difahamkan akan terbang menggunakan penerbangan sewa khas dari Kompleks Bunga Raya, tetapi itu tidak berlaku,” katanya pada sidang akhbar di KLIA hari ini.

Bercerita mengenai tawaran haji, Muhammad Azmir berkata, pelawaan tersebut diterima menerusi rakan isterinya pada 9 April lalu yang mengatakan ada individu dermawan mahu membuat tajaan.

Dakwanya, rakan isterinya juga menjadi antara mangsa bukannya ejen yang dilantik bagi menguruskan urusan jemaah ke Tanah Suci.

Jelasnya, selepas menerima pelawaan itu, mereka diminta untuk memberikan foto dan pasport kepada individu tersebut untuk urusan berkaitan.

“Kami juga dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp bernama ‘Tetamu Allah Haji Akbar 2025’ yang mempunyai 77 ahli terpilih.

“Selepas membuat persiapan termasuk suntikan vaksin, kami menerima surat tawaran haji daripada agensi berdaftar pada 27 Mei lalu.

“Memandangkan surat tawaran itu dikeluarkan oleh agensi pelancongan terkenal, kami amat yakin bahawa pakej tersebut wujud dan akan terbang ke Tanah Suci,” katanya.

Muhammad Azmir kemudian menyedari dia menjadi mangsa penipuan sebelum membuat laporan di Balai Polis KLIA bagi mendapatkan pasport mereka yang dipegang individu lain.

“Sebelum ini, pasport itu diserahkan jemaah kepada individu yang menguruskan urusan haji, tetapi selepas laporan polis dibuat kami diminta untuk mengambilnya di Setia Alam.

“Namun, saya dan isteri belum mengambil pasport kerana mahu menyelesaikan beberapa perkara lain terlebih dahulu,” katanya.

Ditanya sama ada dirinya menanggung kerugian susulan kejadian itu, Amir berkata, dia dan isteri membelanjakan kira-kira RM4,000 sebagai persiapan untuk menunaikan haji termasuk suntikan vaksin.

“Sepanjang berada di dalam kumpulan WhatsApp, saya dan isteri tidak banyak bertanyakan soalan.

“Bukan apa, tawaran mengerjakan haji ini pun diberi secara percuma, jadi buat apa cakap banyak, kami hanya ikut semua yang dimaklumkan.

“Namun tidak sangka ia berakhir seperti ini, sudah tentu kami sangat kecewa kerana ini adalah impian saya dan isteri untuk menunaikan haji bersama-sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI