KUALA LUMPUR – Selepas tiga tahun tertangguh, Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) bakal kembali dengan lebih gah yang akan berlangsung di Arena Of Star, Genting Highland pada 13 September depan.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM 24, Rosmin Hashim berkata, pemenang Album Terbaik akan menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) sebanyak RM200,000 yang diperuntukkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Tahun ini menyaksikan peningkatan besar dalam insentif kerajaan kepada pemenang-pemenang kategori utama AIM24.
“Menerusi skim DKK, sebanyak RM700,000 diperuntukkan Kementerian Komunikasi kepada 11 pemenang utama AIM24 berbanding RM320,000 kepada 4 pemenang edisi lalu. Bagi anugerah utama, Album Terbaik, pemenang akan menerima RM200,000.
“Dana ini bertujuan untuk menyokong penghasilan, promosi dan pengedaran kandungan kreatif berkualiti tinggi, sekali gus memberi impak langsung kepada pertumbuhan industri kreatif digital negara termasuk industri muzik tempatan,” katanya semasa sidang akhbar pelancaran AIM24, hari ini.
Selain itu, Rosmin turut memperkenalkan tiga kategori baru iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.
Dia juga menjelaskan perbezaan di antara kategori lagu tradisional dan pop etnik agar tidak menimbulkan kekeliruan.
“Kita nak iktiraf lagu seperti ghazal, joget dan keroncong bagi kategori tradisional manakala untuk kategori pop etnik pulak kita ada lagu Iban, Dusun dan pelbagai etnik lagi.
“Jadi untuk membezakan kedua-duanya AIM24 memperkenalkan kateogri Lagu Tradisional Terbaik pada tahun ini,” ujarnya.
Kata Rosmin, kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik diperkenalkan selepas melihat Masing-Masing milik Ernie Zakri tidak diiktiraf memandangkan karya dihasilkan komposer Indonesia.
“Kita mahu lagu-lagu yang berkualiti layak untuk dipertandingkan, jadi untuk edisi kali ini kita perkenalkan kategori ini.
“Lagipun industri kita sudah semakin terbuka jadi kita harus fikirkan sekarang,” jelasnya.
AIM24 bakal menyaksikan sebanyak 31 kategori dipertandingkan dan RTM dipertanggungjawabkan sebagai penyiar rasmi.
Pencalonan bagi edisi tahun ini dibuka untuk Lagu/Album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang dikeluarkan di Malaysia dari 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.
Tempoh dibuka pada hari Rabu, 4 Jun 2025 dan akan berakhir pada hari Jumaat, 4 Julai jam 5 petang. – KOSMO! ONLINE