RANTAU PANJANG – Cubaan seorang pemandu lori untuk menghantar sebanyak 9,000 anak pokok durian jenis duri hitam atau black thorn seludup ke sebuah nurseri di Muar, Johor tidak kesampaian apabila dicekup di Jalan Kampung Kedap di sini semalam.
Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah malam semasa anggota Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya menahan sebuah lori selepas mendapati kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai sebanyak 9,000 anak pokok durian black thorn dan sembilan pokok paku pakis hutan yang disyaki diseludup dari Thailand.
“Siasatan lanjut mendapati, pemandu lori itu dipercayai berperanan sebagai penghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Muar.
“Kesemua rampasan termasuk lori dipandu suspek dianggarkan bernilai RM 1.05 juta,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu dan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5. – KOSMO! ONLINE