PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, ekoran jangkaan hujan lebat berserta angin kencang di sembilan negeri sehingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, cuaca buruk itu dijangka melanda seluruh negeri Perlis dan Pulau Pinang termasuk Kuala Lumpur.
“Hujan lebat turut diramal di beberapa kawasan di negeri Kedah melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar Yan dan Kuala Muda manakala Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta),” lapor MetMalaysia.
Tambah MetMalaysia, keadaan sama juga berisiko melanda negeri Selangor melibatkan daerah Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
“Hujan lebat di Negeri Sembilan pula melibatkan kawasan Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol manakala bagi negeri Johor hanya tertumpu sekitar Kota Tinggi.
“Keadaan di Sabah pula, hujan lebat dijangka berlaku di bahagian Sandakan (Kinabatangan),” jelas MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE