KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka pintu buat pemain profesional negara, Lee Zii Jia untuk menyertai semula Program Road to Gold (RTG) sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menterinya, Hannah Yeoh mendedahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Zii Jia minggu lalu bagi menjelaskan manfaat yang ditawarkan RTG, khususnya kepada pemain profesional.
“Saya telah bercakap dengan Lee Zii Jia minggu lepas. Kami telah jelaskan mengenai faedah RTG dan saya amat berharap beliau akan berkata ya. Kerana tiada apa yang rugi. Ini adalah kemudahan tambahan yang ditawarkan oleh kerajaan, walaupun untuk pemain profesional.
“Perjalanan ke LA28 masih panjang dan ada tiga tahun lagi. Dalam sukan, anda tahu, sentiasa ada potensi untuk menghadapi kecederaan.
“Oleh itu, jika anda berada di bawah RTG anda mendapat sokongan untuk pemulihan. Sama seperti apa yang berlaku kepada Datuk Azizulhasni Awang, Tze Yong (Ng Tze Yong). Saya harap Tze Yong tidak akan berputus asa dan terus berusaha sehingga pulih sepenuhnya,” katanya.
Hannah ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin, hari ini.
Zii Jia, 27, yang kini berada di ranking ke-15 dunia kini memberi fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan susulan kecederaan yang dialami sejak Jelajah Dunia Akhir BWF, Disember lalu.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan akhir untuk menyertai RTG masih di tangan Zii Jia namun berharap pemain kelahiran Kedah itu akan mempertimbangkan semua faktor sebelum membuat keputusan.
“Keputusan akhir di tangan Zii Jia. Saya yakin beliau akan menilai semua aspek sebelum membuat keputusan. Begitu juga dengan pemain lain seperti beregu profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.
“Datuk Stuart Ramalingam selaku penyelaras RTG akan mengumpul senarai akhir. Kita sasarkan untuk memuktamadkan senarai penghujung Jun memandangkan kebanyakan pemain masih sibuk dengan kejohanan masing-masing,” jelasnya.
KBS dijangka mengadakan satu majlis menandatangani penyertaan rasmi membabitkan atlet terpilih sebaik sahaja senarai akhir disahkan.
Untuk rekod, Zii Jia sebelum ini pernah menolak tawaran untuk menyertai program itu bagi memberi tumpuan kepada perancangan latihan sendiri bersama pasukannya. -KOSMO! ONLINE