PETALING JAYA -Wasco Berhad melalui bahagian perkhidmatan tenaga iaitu Wasco Energy telah melancarkan fasiliti fabrikasi baharunya di Zon Bebas Jebel Ali (Jafza) , Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus memperkukuh keupayaan kejuruteraan dan fabrikasi modularnya bagi menyokong projek infrastruktur tenaga dan industri di seluruh Timur Tengah dan seterusnya.
Fasiliti baharu itu terletak di lokasi strategik berhampiran salah satu pelabuhan tersibuk di dunia
Yang meningkatkan keupayaan Wasco untuk melaksanakan projek modular berskala tinggi dengan lebih cekap dan pantas.
Ketua Pegawai Eksekutif Wasco Energy, Shan Karupiah berkata, pengembangan ini bukan sekadar mengenai usaha meningkatkan kapasiti, tetapi juga meletakkan Wasco lebih dekat dengan pelanggannya serta ekosistem tenaga yang dinamik di rantau ini.
“Dengan kemudahan baharu di UAE ini, kami kini lebih bersedia untuk memperkenalkan penyelesaian modular yang berkualiti tinggi, khusus, dan pantas dengan ketepatan dan nilai kejuruteraan yang mendalam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Disokong oleh lebih 600 jurutera dalaman di seluruh dunia, Wasco Energy menawarkan penyelesaian modular menyeluruh iaitu dari Reka Bentuk Kejuruteraan Hadapan (FEED) hingga fabrikasi dan penghantaran akhir dengan memanfaatkan kepakaran pelbagai disiplin dan keupayaan pelaksanaan yang terbukti.
Kemudahan ini dibina mengikut piawaian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) antarabangsa, menggabungkan protokol keselamatan yang ketat dan budaya sifar insiden yang kukuh. -KOSMO! ONLINE