KUANTAN – Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) yang hilang selepas keluar ke pusat membeli belah kelmarin ditemukan bersama seorang lelaki yang mengalami masalah mental semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Norilyana Izzati Normazlan, 29, ditemukan berada di Hentian Bas Kuantan Parade bersama seorang lelaki kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
“Temubual mendapati lelaki tersebut tidak sihat mental dan percakapan tidak jelas memberitahu dia berjumpa mangsa secara kebetulan di Kuantan Parade pada Ahad lalu dan telah sama-sama tanpa paksaan keluar daripada pasar raya tersebut untuk bersiar-siar sekitar kawasan.
“Namun apabila lewat mereka berasa bimbang untuk pulang kerana takut dimarahi oleh ibu mangsa yang ketika itu berniaga di situ,”katanya di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan seorang wanita OKU dilaporkan hilang selepas mengikuti seorang lelaki ketika keluar ke sebuah pusat beli-belah bersama ibu angkatnya di sini kelmarin.
Kehilangan mangsa disedari ibu angkatnya berusia 51 tahun yang ketika itu menyertai acara jualan di pusat beli-belah berkenaan sebelum usaha mencari mangsa dilakukan ibu angkat mangsa di kawasan berhampiran.
Menurut Wan Mohd Zahari, berdasarkan siasatan modus operandi kejadian adalah mangsa menghilangkan diri selepas mengikut seorang lelaki yang tidak dikenali.
Katanya berdasarkan siasatan tiada unsur-unsur jenayah atau paksaan dilakukan oleh lelaki tersebut ke atas mangsa kerana mangsa dengan rela hati mengikut lelaki itu untuk keluar bersiar diluar kawasan bangunan pasar raya.
Ujarnya susulan itu ibu angkat mangsa berpuas hati dengan tindakan pihak polis dan satu laporan tarik semula laporan polis telah dibuat. – KOSMO! ONLINE.